23 Ogos, 2009

Perlawanan Tarik Kalat Jemputan Labuan

Pasukan Tarik Kalat G16 Jerudong yang mewakili Negara Brunei Darussalam berjaya berada di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500.00 pada Perlawanan Tarik Kalat Jemputan Labuan yang berakhir pada 29 Febuari lalu.

Penyertaan pasukan berkenaan merupakan penghormatan yang diberikan oleh Persatuan Tarik Kalat Negara Brunei Darussalam berdasarkan kejayaan mereka ke beberapa kejohanan termasuk menjuarai Kejohanan Tarik Kalat Se-Borneo pada tahun 2007.

Kejohanan tarik kalat yang dianjurkan oleh Perbadanan Labuan itu adalah bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (WP) Labuan tahun 2008 diadakan selama dua hari di Dataran Labuan.

Pihak penganjur telah menetapkan beberapa syarat dan peraturan perlawanan termasuk menghadkan jumlah berat badan yang dihadkan 950 kilogram bagi sepuluh orang penarik.

Persaingan semua pasukan jelas sengit apabila peraturan telah menetapkan semua penarik tidak dibenarkan duduk atau baring, semasa dalam perlawanan dan tidak dibenarkan penarik bertukar ganti sehinggalah perlawanan yang sedang dijalankan itu selesai. Selain pasukan dari Negara Brunei Darussalam, tuan rumah telah membariskan dua buah pasukan yang diwakili oleh WP Labuan dan Jabatan Kemajuan Labuan, Lawas, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pasukan Tarik Kalat Putrajaya telah berjaya menjadi juara dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00 sambil Pasukan Tarik Kalat Daerah Lawas berada di tempat kedua yang merangkul wang tunai sebanyak RM2,000.00.