23 Ogos, 2009

Kejohanan Tarik Kalat Tradisi Antara Mukim-mukim Senegara





JERUDONG, Ahad, 26 April. – Pasukan Mukim Gadong, Mukim Saba dan Mukim Pengkalan Batu masing-masing menjuarai Kejohanan Tarik Kalat Tradisi Antara Mukim-mukim Senegara di Padang Sekolah Rendah Jerudong.

Mukim Gadong muncul juara kategori berat dengan merebut piala sumbangkan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; kedua, Mukim Sengkurong ‘A’ dan ketiga, Mukim Pengkalan Batu.

Mukim Saba menjuarai kategori ringan dengan merebut piala sumbangan Penghulu Mukim Sengkurong. Tempat kedua, Mukim Sengkurong dan tiada pemenang bagi tempat ketiga.

Kategori remaja dijuarai oleh Mukim Pengkalan Batu dengan merebut piala sumbangan Penghulu Mukim Lumapas; kedua, Mukim Sengkurong dan mengisi di posisi ketiga, Mukim Saba.
Selain merangkul piala sumbangan, juara bagi kategori berat juga membawa pulang hadiah wang tunai BND1,500; manakala juara kategori ringan menerima hadiah wang BND900 dan juara kategori remaja menerima hadiah wang BND500.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah-hadiah ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampong Jerudong dan Kampong Sengkurong dengan dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan dan Sosial Garaj 16 dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara disertai oleh 19 buah pasukan.
Kejohanan tersebut merupakan salah satu acara bagi memeriahkan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-63.